Serangan Tết 1968 Barisan_Pembebasan_Kebangsaan

Semasa perayaan Tết tahun 1968, Barisan Pembebasan Kebangsaan mengarahkan kumpulan Viet Cong mencabul gencatan senjata dan membuat serangan besar-besaran. Bangunan Kedutaan Amerika di Saigon ditawan dan pada peringkat awal, Viet Cong seperti mampu melancarkan serangan sewenang-wenangnya di merata tempat. Serangan Tet menjadi kejutan besar kepada rakyat Amerika yang sudah lazim dengan penilaian optimis oleh Jeneral William Westmoreland.Selepas berakhirnya Serangan Tet, Westmoreland mengatakan Viet Cong telah kalah teruk dan hanya mencapai kejayaan psikologi semata-mata. Tetapi sebenarnya Serangan Tet berjaya memaksa Amerika mencari penyelesaian Vietnam melalui rundingan damai.

Walaupun pasukan utama Viet Cong mengalami kerugian jiwa yang besar semasa Serangan Tet, kesan ke atas Barisan Pembebasan Kebangsaan sukar dinilaikan. Yang pasti, lebih ramai wakil dari Vietnam Utara menyertai kepimpinan Barisan Pembebasan Kebangsaan selepas Serangan Tet.Barisan Pembebasan Kebangsaan berjaya menunjukkan pada mata dunia betapa ia mampu memalukan Tentera Amerika. Walter Cronkite umpamanya mengatakan bahawa Amerika Syarikat tiada harapan lagi untuk menang di Vietnam pada 27 Februari 1968 berkata Amerika Syarikat menemui jalan buntu di Vietnam. Presiden Johnson dan Presiden Nixon terpaksa mengambil jalan keluar melalui jalan rundingan dan proses Vietnamisasi. Serangan Tet juga menunjukkan betapa tidak berkesannya aktiviti risikan Tentera Amerika kerana tidak dapat meramalkan satu serangan yang dilancarkan secara meluas.